APA YANG ANDA AKAN ALAMI APABILA ANDA HAMIL

Badan anda melalui perubahan yang menakjubkan ketika kehamilan. Sesetengah wanita kelihatan sihat berseri manakala yang lain mengalami hari-hari yang kurang memberangsangkan. Ini adalah beberapa perubahan yang anda boleh jangkakan berlaku sepanjang kehamilan dan tip berguna untuk menanganinya. Bersedia, mantapkan diri, ibu!

MABUK HAMIL

Walaupun mabuk hamil disebut “morning sickness” dalam Bahasa Inggeris, namun rasa loya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sepanjang hari. Ia disebabkan perubahan hormon ketika hamil, yang biasanya hilang pada penghujung bulan ketiga kehamilan.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
  • Makan makanan ringkas dan elakkan makanan yang mempunyai bau atau rasa yang kuat.
  • Hadkan makanan berlemak, berempah dan bergoreng.
  • Ambil lebih banyak vitamin B6 kerana kajian mencadangkan ia bagus untuk mengurangkan loya.
  • Jika loya disertai muntah, pastikan badan anda kekal terhidrat. Elakkan
    minum secara banyak pada satu masa dan minumlah sedikit tetapi kerap di antara waktu makan.

PEDIH ULU HATI

Apabila bayi anda membesar, ia menekan perut anda, menyebabkan pedih ulu hati. Ia adalah rasa di sekitar atas dada anda (belakang tulang dada). Perubahan paras hormon juga boleh menyebabkan pedih ulu hati, yang memperlahankan proses pencernaan.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
  • Makan sedikit tetapi kerap dan makan secara perlahan.
  • Elakkan berbaring sejurus selepas makan kerana ia akan memperlahankan proses pencernaan dan meningkatkan kemungkinan untuk mengalami pedih ulu hati.
  • Makan lebih banyak makanan berbentuk cecair. Cecair lebih pantas bergerak masuk ke dalam perut berbanding makanan pejal seterusnya
    merendahkan risiko pedih ulu hati.

BERASA LETIH

Anda mungkin berasa cepat letih kerana badan anda bekerja keras untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bayi anda membesar. Bayi yang
membesar ini juga menambah berat yang anda bawa.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
  • Tidur sekejap ketika siang dan tidur awal pada waktu malam.
  • Kurangkan makanan manis dan karbohidrat yang tinggi indeks glisemik seperti nasi putih, roti putih dan mi.
  • Ambil vitamin B secukupnya, nutrien utama untuk penghasilan tenaga.
  • Ambil protein secukupnya untuk tenaga yang berterusan sepanjang hari.

SEMBELIT

Disebabkan perubahan hormon, anda mungkin mengalami pencernaan yang lebih perlahan yang mengakibatkan sembelit. Kehamilan memberi lebih tekanan kepada usus dan rektum, juga boleh mengganggu pencernaan, seterusnya memperlahankan proses pembuangan air besar.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
  • Kerap bergerak untuk kekalkan pergerakan otot – berjalan, berenang, berlatih pilates atau yoga.
  • Makan makanan yang kaya serat seperti roti mil penuh, bijirin tulen, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Minum banyak air (sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari) dan elakkan kopi, teh dan minuman bergas yang boleh menyebabkan dehidrasi dan akan
    memburukkan lagi masalah sembelit.

Produk Berkaitan